Tuan Guru Haji Yusoff, Menabur Bakti Dalam Pendidikan
Tuan Guru Haji Yusoff bin Haji Saad dilahirkan pada tahun 1918 di Kampung Relau, Bandar Baharu, Kulim Kedah. Namanya terkenal dan meniti di bibir masyarakat Seberang Perai Selatan dan utara Perak. Beliau telah diasuh dan dididik dengan penuh nilai keislaman serta kasih sayang oleh kedua ibu bapanya. Suasana itu menyebabkan beliau sangat disenangi oleh masyarakat kerana sikap lemah lembutnya tetapi tegas dalam perkara melibatkan akhlak anak-anak muridnya.
Pendidikan Awal
Beliau
mendapat pendidikan awal di Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan Kuala
Kangsar, Perak iaitu sebuah madradah yang tidak asing lagi dimata
masyarakat Islam di sebelah utara. Di situlah lahirnya ramai cerdik
pandai dan agamawan yang ulung. Beliau memulakan pengajian bersama
sahabat karibnya, Tuan Guru Ustaz Haji Ibrahim, yang juga sepupunnya.
Setelah tamat pengajian beliau menyambung pengajian di Pondok Guar
Chempedak, Yan Kedah yang ketika itu dipimpin oleh Tuan Guru Haji
Abdullah Sanaf, seorang guru yang alim.
Setelah
beberapa tahun kemudian beliau melanjutkan pengajian ke Madrasah
Daeratul Maarif Wataniah, Kepala Batas yang dipimpin oleh seorang ulama
yang sangat disegani ramai, Tuan Guru Haji Abdullah Fahim. Beliau sempat
mengutip mutiara-mutiara ilmu dari Abdullah Fahim. Kemudain beliau
melanjutkan lagi pengajian ke Madarasah Manabiul Ulum Wamataliu’nujum
yang ketika itu dipimpin oleh seorang ulama terkemuka bernama Syeikh
Usman Jalaluddin al-Kalantani yang merupakan murid kepada Tok Kenali. Di
sini kewibawaan beliau mula terserlah apabila beliau diamanahkan
mengetuai usrah-usrah dan majlis muzakarah di madrasah tersebut.
Seterusnya
beliau beriltizam untuk meneruskan pengajian ke gedung ilmu yang
termasyhur iaitu Makkah. Hasrat beliau itu tercapai apabila tamat
pengajian di Manbiul Ulum dan terus melanjutkan pengajian ke Makkah. Ketika di sana
beliau sempat bersahabat dengan beberapa tokoh yang terkenal seperti
Tuan Guru Abu Bakar Baqir, pejuang kemerdekaan dan juga pengasas Mahaad
Ehya Syariff.
Mendirikan Rumah Tangga
Setekah
selesai pengajian di Makkah, pada tahun 1953 beliau pulang dan bertemu
jodoh dengan Hajah Kalsom Haji Putih adik perempuan kepada sahabat
beliau Tuan Guru Haji Talib bin Haji Putih. Hasil perkongsian hidup
dengan Hajah Kalsom,mereka dikurnaikan enam cahaya mata. Salah
seorangnya ialah Ustaz Haji Abdul Aziz, yang kini memikul tanggungjawab
sebagai mudir Madrasah Irshadiyah al-Asharaf al-Wataniah.
Membuka Madrasah
Pada
tahun 1953, beliau telah melihat dan mengkaji perlunya masyarakat
tempatan di sekitar daerah Seberang Perai khususnya Sungai Bakap kepada
sebuah madrasah atau pusat pengajian yang berteraskan pondok. Oleh sebab
itu, beliau telah memilih sebuah perkampungan Islam di Jalan Stesen,
Sungai Bakap untuk mendirikan sebuah musolla dan seterusnya menjadi
sebuah madrasah. Atas keprihatinan dan bantuan penduduk setempat
akhirnya hasrat beliau itu tercapai. Madrasah tersebut dinamakan
Madrasah Irsyad al-Ashraf al-Wataniah yang bermaksud Petunjuk dan
Penggerak Anak-anak Bangsa.
Dengan
tertubuhnya madrasah ini, maka ramailah anak murid yang dating untuk
menuntut ilmu. Anak muridnya tidak terbatas sekadar di kawasan Sungai
Bakap sahaja malah hingga ke daerah Kerian seperti Perit Buntar, Tanjung
Piandang, Kuala Kurau, Bagan Serai dan kawasan sekitarnya.
Menyedari
suasana pendidikan yang sentiasa berubah, maka beliau telah menerima
cadangan yang dikemukakan oleh Tuan Guru Haji Abdul Halim anak
saudaranya, untuk membahagikan pengajian kepada dua bahagian iaitu
nizami dan umummi. Tuan Guru Haji Yusoff mengajar dan mentadbir bahagian
umummi manakala Tuan Guru Haji Abdul Halim mengajar dan mentadbir
bahagian nizami.
Tuan
Guru Haji Yusoff mengajar dengan penuh rasa tanggungjawab demi
memastikan anak-anak muridnya mendapat ilmu pengetahuan yang secukupnya.
Oleh sebab itu beliau sangat bertegas dengan tatatertib dan disiplin
diri seorang pelajar. Antara perkara yang dititik beratkan ialah, beliau
tidak suka pelajar menyimpan rambut panjang dan membaca majalah-majalah
yang tidak berfaedah.
Kembali ke Rahmatullah
Sudah
menjadi sunnatullah, setiap yang hidup akan meninggal dunia. Begitulah
juga dengan Tuan Guru Haji Yusoff. Beliau kembali ke rahmahtullah pada 1
Muharam 1399/20 Disember 1979. Pemergian beliau ini telah meninggalkan
kesan yang sangat mendalam kepada anak murid dan masyarakat setempat.
Tugas
beliau akhirnya dipangku oleh anak saudaranya Tuan Guru Haji Abdul
Halim. Jasa beliau tidak mungkin dapat dilupakan oleh masyarakat
setempat kerana telah mewariskan sebuah institusi pendidikan yang sangat
berjasa pada anak bangsa. Antara pesanan terakhir kepada anak murdnya
ialah: “Aku mengajar supaya kamu boleh belajar”. Begitulah jasa dan
sumbangan Tuan Guru Haji Yusoff pada masyarakat setempat. Semoga roh
beliau sentiasa dicucuri rahmat oleh Allah SWT.